Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mula melaksanakan kursus dan latihan untuk kakitangan DBKL sejak tahun 1979 di bawah Bahagian Latihan Jabatan Personel.
Kursus-kursus yang dilaksanakan di peringkat awal adalah berkaitan dengan bidang penguatkuasaan dan sistem kerja jabatan-jabatan di DBKL. Pada 1 Jun 1982, sebuah bangunan Institut Latihan Kakitangan DBKL (IDB) telah dibina dan beroperasi di Jalan Kepong, Jinjang. Pada 1 Julai 2011 IDB telah berpindah di Jalan Yaacob Latif (Jalan Tenteram), Bandar Tun Razak Cheras.
Selaras dengan hasrat untuk mengukuhkan peranan Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) sebagai sebuah pusat kecemerlangan yang bukan sahaja menawarkan latihan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran modal insan warga DBKL, pentadbiran DBKL telah memutuskan agar IDB akan melapor terus kepada Pengarah Eksekutif (Pengurusan) bagi memperkasa peranan IDB dalam bidang pembangunan dan penyelidikan berkuatkuasa pada 2 Januari 2020.

Misi & Visi
Menjadi peneraju pusat latihan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Malaysia yang cemerlang dalam menyediakan khidmat latihan dan rujukan dalam bidang perkhidmatan perbandaran. Beriltizam merancang, mengurus dan melaksana program latihan yang berkualiti, bersistematik dan responsif berteraskan amalan terbaik bagi melahirkan warga kerja yang kompeten dan berintegriti dalam memberi perkhidmatan perbandaran yang cemerlang.
Objektif IDB
Latihan
Melatih dan memperlengkapkan warga kerja DBKL sebagai contoh terbaik.
Perkhidmatan
Memberi perkhidmatan latihan yang berkualiti, responsif dan menepati keperluan fungsi DBKL selari dengan dasar / polisi semasa kerajaan dengan memberi penekanan kepada realiti sebenar isu perbandaran.
Pendedahan
Memberi pendedahan antarabangsa bagi membuka peluang warga kerja DBKL membina jaringan perhubungan profesional yang lebih luas.
Matlamat
Menjadi pusat rujukan, pusat perkongsian ilmu pengetahuan, forum pertukaran maklumat dan amalan kerja terbaik untuk Pihak Berkuasa Tempatan.